fb fb fb fb fb

Kastam Kelantan rampas 47 kenderaan mewah tidak bercukai

Rampasan kenderaan mewah pelbagai jenama dan model melibatkan cukai sebanyak RM6.38 juta

KOTA BHARU, 21 Oktober – Sebanyak 47 kenderaan mewah tidak bercukai dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam beberapa siri operasi dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Rampasan kenderaan mewah pelbagai jenama dan model itu melibatkan cukai sebanyak RM6.38 juta.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata sindiket berkenaan menggunakan taktik menyembunyikan kereta seludup di parkir kondominium sebagai transit bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, rampasan turut dilakukan di Kelantan, selain Kuala Lumpur dan Johor, dengan operasi risikan yang dijalankan termasuk di kawasan sempadan.

"Modus operandi sindiket menjual kenderaan mewah itu kepada pelanggan di seluruh negara pada harga 35 hingga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

“Pada 1 hingga 5 September lalu, Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu telah menjalankan operasi bagi membanteras penyeludupan kenderaan tidak berkastam di sekitar Johor Bahru, yang dikenal pasti menyimpan kenderaan seludup dari negara jiran sebelum diedarkan kepada pelanggan,”katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, taktik licik sindiket juga menyembunyikan tujuh buah kereta mewah diparkir di kondominium Johor Bahru hasil penyeludupan dari Singapura .

Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Mercedes Benz dan Honda Jazz dengan nilai cukai RM1.2 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN