KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun memfailkan saman sivil terhadap tiga pengasuh dan pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan keretakan tempurung kepala.
Saman sivil itu difailkan Ahmad Aysar Wildan melalui bapanya, Dr Ahmad Syamil Hadi Ibrahim, 31, menuntut ganti rugi secara bersesama dan/atau berasingan berjumlah RM1.45 juta merangkumi ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.
Peguam Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahrulnizam yang mewakili mangsa memaklumkan kecederaan dialami plaintif ketika berusia empat bulan termasuk pendarahan di bahagian kiri otak, keretakan tengkorak kiri serta pendarahan retina di kedua-dua mata.
Akibat insiden itu, mangsa disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mahkamah menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan kes.
Bapa mangsa, Ahmad Syamil Hadi menyatakan harapannya agar saman tersebut membawa keadilan kepada anaknya selepas insiden yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Saya berharap saman ini akan memberikan keadilan sewajarnya kepada anak saya selepas apa yang berlaku. Kejadian ini di luar jangkaan dan sangat tidak berperikemanusiaan. Kes jenayah telah selesai, tetapi perjuangan kami belum berakhir.
"Kami akan meneruskan kes di Mahkamah Sivil untuk memastikan anak saya mendapat pembelaan yang sepatutnya," katanya ketika ditemui RTM hari ini.