JOHOR BAHRU, 7 Februari - Seorang kakitangan di sebuah sekolah di negeri ini yang ditahan semalam bagi membantu siasatan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman hingga 9 Feb terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM Cawangan Batu Pahat menahan individu itu di pejabat SPRM di sini pada 5 petang selepas hadir memberikan keterangan.
Menurut sumber, pada 2021, individu itu menyediakan dokumen atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran kerja pembekalan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar sekolah itu bagaimanapun kerja pembekalan itu didapati tidak dilaksanakan. - BERNAMA