(Kapal tangki yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania dikendalikan lapan kru kapal
melibatkan dua warga Indonesia serta dua warga tempatan/FOTO Maritim Johor)
KOTA TINGGI, 7 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (MARITIM) Johor mematahkan cubaan sindiket penyeludupan minyak diesel bernilai RM3.65 juta berdekatan ladang kelapa sawit di Sungai Lebam, di sini pada 11.45 malam tadi.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya mengesan sebuah kapal tangki sedang bergerak di perairan Sungai Lebam selepas melakukan rondaan kira-kira 10 malam.
“Kapal tangki itu berdaftar di Zanzibar, Tanzania dikendalikan lapan kru kapal melibatkan dua warga Indonesia serta dua warga tempatan berusia 19 hingga 60 tahun dan mereka semua telah ditahan termasuk pemandu lori tangki.
"Hasil pemeriksaan, menemui 80,000 liter minyak diesel yang sedang dipindahkan daripada dua buah lori tangki ke atas kapal itu” katanya kepada pemberita di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih, di sini hari ini.
Katanya, turut dirampas, sebuah kapal tangki, dua lori tangki minyak, sebuah Perodua Bezza dan pam minyak hos yang disyaki digunakan bagi pemindahan minyak haram tersebut.
"Bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran Maritim, kapal berkenaan cuba lari daripada agensi penguat kuasa.
“Kita percaya sindiket ini menggunakan pam dan hos minyak sepanjang 600 meter untuk memindahkan minyak diesel daripada lori tangki ke kapal. Kapal ini juga pernah ditahan Maritim sebelum ini atas kesalahan berlabuh secara haram,” katanya.
(Sidang media di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih hari ini/FOTO MARITIM Johor)
Nurul Hizam berkata pihaknya masih menyiasat bagaimana dan sejak bila sindiket itu aktif.
“Ini merupakan tangkapan pertama Maritim Johor tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967.