KOTA TINGGI, 17 Jun- Seorang Jurulatih bola sepak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar Perempuan Sekolah Menengah, pada 14 November tahun lalu dan 2 Mei tahun ini.
Tertuduh, Meor Azizi Zolkfle, 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan
Tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai jurulatih, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar 13 tahun di Kedai Pusat Sukan, Felda Sening dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Adela, Kota Tinggi, pada 14 November lepas, dan 2 Mei lalu.
Dia juga didakwa melakukan amang seksual, terhadap seorang lagi mangsa berusia 13 tahun, di Stadium Bandar Penawar Kota Tinggi, pada 2 Mei lalu.
Kesemua perbuatan itu dilakukan antara pukul 7.50 hingga 9.20 malam.
Pendakwaan mengikut Seksyen 14(a) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta penyerahan dokumen.
Jaminan RM20,000 atas kesemua pertuduhan dibenarkan kepada tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.