fb fb fb fb fb

Bermalam di rumah ibu, selamatkan penjawat awam jadi mangsa kebakaran

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 17 Jun- Hasrat untuk bermalam di rumah ibu di Taman Sungai Jagong, Sungai Layar menyelamatkan penjawat awam dan anak kecil daripada menjadi mangsa kebakaran.

Menurut Firman Moktar, unit kediamannya di kuarters Majlis Perbandaran Sungai Petani terbakar malam tadi, dan perkara itu hanya diketahui selepas dimaklumkan jiran.

"Kebanyakan barangan elektrik terbakar, antaranya peti ais, mesin basuh,penapis air elektrik, kerusi urutan dan perabot," kata Firman yang juga adik kepada Dj Firdaus KedahFM.

Katanya, laporan mengenai kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Siti Norafiza Mohd Noh menerusi kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan mengenai kebakaran diterima kira-kira pukul 11.33 malam.

Pihaknya mendapati terdapat kebakaran struktur melibatkan seunit kuarters pejabat Majlis Daerah dengan anggaran 60 peratus terbakar.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID