PETALING JAYA, 13 November - Sebanyak 3,855 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal yang dilancarkan sejak 1 November lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah melibatkan isu teknikal kenderaan dengan 1,644 notis.
Kesalahan lain adalah tiada cukai jalan 983 notis, tiada lesen memandu dengan 737 notis, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 302 notis dan pelbagai kesalahan lain.
"Sasaran utama kami JPJ Selangor adalah untuk memastikan semua penunggang ada lesen dan kita kuat kuasakan motosikal yang tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau lesen tamat tempoh.
"Selain kesalahan tiada perlindungan insurans, melanggar lampu isyarat, ubah suai motosikal secara ekstrem, merempit dan lumba haram," katanya ketika ditemui pada Op Khas Motosikal di Plaza Tol Petaling Jaya arah selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) malam tadi.
Menurutnya, setakat 12 hari operasi dijalankan secara keseluruhan 19,362 motosikal diperiksa.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai operasi malam tadi beliau berkata, sebanyak 631 motosikal diperiksa dengan 295 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Lima motosikal turut disita selain lima individu didapati positif methamphetamin ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bermula 1 November lalu, JPJ melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan hingga 31 Disember ini di seluruh negara.
Operasi berkenaan bertujuan meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.