PADANG BESAR, 28 Mei- Pelbagai komoditi melibatkan ayam sejuk beku, rokok, minuman keras dan tayar dirampas pihak kastam dalam empat kes berasingan, bermula 5 Mei lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Ismail Hashim.
Menurut beliau, empat lokasi tersebut melibatkan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Padang Besar, Taiping, Sungai Petani dan Pelabuhan Klang.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM646,000 dan melibatkan cukai serta duti melebihi RM196,000.
"Sehubungan itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan termasuklah rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," kata Ismail.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas kejayaan JKDM Perlis mematahkan penyeludupan barangan tidak berkastam di Padang Besar.
Dalam kesemua kes berkenaan, turut disita 3 buah kenderaan bernilai RM30,000.
Kes disiasat bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.