PADANG BESAR, 29 Disember - Sebanyak 286 aktiviti penyeludupan sepanjang tahun ini berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis membabitkan rampasan pelbagai barang seludup bernilai lebih RM5.98 juta, dengan nilai cukai dianggarkan RM3.85 juta.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata rampasan tertinggi yang direkodkan melibatkan kenderaan dengan jumlah rampasan bernilai RM3,050,510 membabitkan nilai cukai RM2,667,799 diikuti dengan rampasan dadah RM1,844.306 dan rokok seludup bernilai RM222,059.
"Rampasan melibatkan rokok, minuman keras, kenderaan, dadah, minyak petrol dan diesel, minyak masak dan termasuk kes-kes yang tidak mengikrar dagangan, ikrar yang rendah dan termasuk juga kes-kes yang lain. Setelah dicampurkan nilai rampasan dan nilai cukai menghampiri RM10 juta keseluruhan," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Kastam Padang Besar, di sini.
Tambah Ismail, antara modus operandi dipercayai kerap kali digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu adalah dengan menyembunyikan barang kes di bawah longgokan kertas selain menyembunyikan barangan diseludup itu dalam timbunan pakaian yang diletakkan dalam bagasi.