fb fb fb fb fb

JIM tumpaskan dua sindiket pelacuran warga asing

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan dua sindiket pelacuran warga asing dalam satu Operasi Khas pada 24 dan 25 Julai lalu di tujuh lokasi sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, menerusi operasi berkenaan seramai 117 individu ditangkap menerusi maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

"Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan 10 lelaki warganegara Malaysia disyaki sebagai penjaga premis berusia dalam lingkungan 27 hingga 63 tahun.

"Turut ditahan 48 wanita warganegara Vietnam, 34 wanita warganegara Indonesia, 3 wanita warganegara Bangladesh, 18 lelaki warganegara Bangladesh, 3 lelaki warganegara Vietnam dan seorang lelaki warganegara Nepal berusia dalam lingkungan 15 hingga 53 tahun," katanya.

Menerusi operasi itu satu unit telefon bimbit, satu unit tablet (1), pasport Vietnam (23), pasport Indonesia (12), pasport Bangladesh (5), pasport Nepal (1) dan wang tunai sebanyak RM7,055 turut dirampas.

Modus operandi dua sindiket berkenaan adalah dengan menawarkan perkhidmatan urutan badan dan gadis pelayan kepada warga tempatan dan warga asing.

Kesemua warganegara asing ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu 10 lelaki warganegara tempatan ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Operasi berkenaan melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Perak.

Dalam pada itu jabatan berkenaan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta ATIPSOM 2007.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI