fb fb fb fb fb

JIM Kelantan tumpas sindiket penyeludupan migran

Foto JIM Kelantan

KOTA BHARU, 14 Oktober -Seramai 10 individu warga asing ditahan disyaki terbabit satu sindiket penyeludupan migran, menerusi Operasi Penguatkuasaan (OPS SERKAP) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan sekitar Lembah Sireh, di sini, semalam.

JIM Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita warga India, dua lelaki warga Pakistan serta seorang wanita warga Indonesia.

Kesemua mereka masing-masing berusia antara 18 tahun hingga 43 tahun.

"Hasil semakan awal mendapati empat lelaki warga India itu telah ditolak kemasukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pengkalan Hulu, Perak pada 11 Oktober lalu.

"Dalam operasi tersebut pihaknya juga menahan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 24 tahun serta sebuah kereta yang dipercayai digunakan sebagai kenderaan 'transporter' bagi membawa masuk migran secara haram," menurut JIM Kelantan.

Suspek bertindak sebagai pemandu telah ditahan dan disiasat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. 

TETITIA YUSOFF