SHAH ALAM, 13 Oktober- Satu sindiket pengedaran ganja di sekitar Selangor ditumpaskan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan dibuat pihaknya, empat siri serbuan di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Selayang dilakukan dengan nilai rampasan berjumlah RM5.9 juta.
Tujuh individu warga tempatan, terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun, ditahan.
Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Subang Jaya, polis merampas 115 bungkusan plastik berisi ganja seberat 112.23 kilogram serta 43 paket ketulan mampat ganja seberat 4.72 kilogram.
“Serbuan kedua di kawasan tepi jalan sekitar Petaling Jaya menemui 12 bungkusan ganja seberat 12.52 kilogram di dalam sebuah kereta Perodua Alza.
“Manakala serbuan ketiga di sebuah hotel di Selayang menemui dua bungkusan ganja seberat 2.1 kilogram, dan hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan keempat di parkir kondominium sekitar Petaling Jaya, di mana polis merampas 40 bungkusan ganja seberat 41.56 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Jumlah keseluruhan rampasan ganja daripada keempat-empat serbuan itu ialah 173.14 kilogram, yang dianggarkan mampu menjejaskan 263,000 pengguna dadah.
Menurut Datuk Hussein, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal September tahun ini, dengan menjadikan kediaman sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sebelum bekalan diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Polis turut menyita dua kenderaan, Honda HRV dan Perodua Ativa dengan nilai keseluruhan sitaan harta berjumlah RM129,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM6.04 juta.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai kesalahan lampau melibatkan kes dadah dan jenayah, termasuk seorang suspek yang mempunyai 18 rekod lampau.
Datuk Hussein berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, dan menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.