KUALA NERUS, 28 Januari- Jenayah komersial di Terengganu bagi tempoh bermula awal tahun ini hingga 27 Januari mencatatkan sebanyak 393 laporan diterima, berbanding 429 laporan tahun lepas.
Penurunan sebanyak 36 laporan polis atau 8.4 peratus.
Daripada jumlah itu, 94 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian lebih RM1.4 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata penyumbang utama kes jenayah tersebut adalah melibatkan kes penipuan, yang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Daripada keseluruhan, penipuan kes skim pelaburan tidak wujud dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kerugian tertinggi dengan jumlah sebanyak RM35,600.
"Modus operandinya menyasarkan kepada semua golongan pesara, dan juga peniaga dan 'scammer' di terengganu ini dia melibatkan kes tipu yang menguasai lebih kurang 90 peratus daripada kes komersil di Terengganu,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas terlibat dalam aksi perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dengan Kelab Wartawan Media Terengganu-KAWAT di padang bola sepak sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, petang tadi.
Sementara itu, secara keseluruhan jenayah komersil di Terengganu pada tahun lepas mencatatkan kerugian lebih RM33.3 juta meliputi 1,237 kes melibatkan penipuan ala Macau dan ‘Love Scam’ serta pelaburan tidak wujud.