fb fb fb fb fb

JAIM buru Tabib Adam disyaki larikan diri

Penguat kuasa JAIM bersama beberapa agensi keselamatan menyerbu ke premis perubatan Tabib Adam di Masjid Tanah/Foto Facebook JAIM

MELAKA, 26 Oktober - Pengasas Pusat Terapi Tabib Adam dikenali sebagai Adam Isa dipercayai melarikan diri ke negara asalnya di Singapura.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mengesan Tabib Adam atau Adam M.Isa, 66, bagi membantu siasatan berhubung amalan dan aktiviti perubatan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Adam Isa gagal dikesan dalam operasi yang dilakukan di pusat terapi itu pada 24 Oktober lalu.

"Pihak JAIM telah pun meminta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan Tabib Adam.

"Pemeriksaan telah dilakukan di pusat rawatan, tempat jualan ubat, rumah kediaman selain halaman rumah dan bangunan.

"Usaha menghubungi Adam dan isterinya menerusi panggilan telefon juga gagal kerana tidak dijawab," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan itu, JAIM menahan dua individu perempuan yang juga pekerja berusia 38 dan 44 tahun bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan aktiviti perubatan bersama Tabib Adam selepas fatwa diwartakan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang telah diwartakan.

"Selain itu, barang-barang kes seperti papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan, serta risalah berkaitan produk kesihatan dirampas dan disita," katanya.

Menurutnya, Tabib Adam kini mempunyai kes di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan mengikut seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana didakwa tinggal bersama wanita yang bukan isterinya atau mahramnya.

"Tarikh seterusnya untuk perbicaraan adalah pada 5 Februari tahun hadapan," tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pengasas Pusat Terapi Tabib Adam diminta menghubungi JAIM menerusi talian 017-2661280.

GRACE AISYAH KEDAYAN