fb fb fb fb fb

Isteri pegawai polis mengaku tidak bersalah, cubaan racun suami & ibu mertua

Isteri pegawai polis, Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menggunakan racun terhadap suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu/BERNAMA

KUANTAN, 24 Mei- Isteri pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cubaan meracun suami dan ibu mertuanya lima tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azman Mustapha ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas suaminya di rumah No. 2, Lorong Seri Kuantan 23, Kuantan pada Julai 2019.

Manakala, pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas ibu mertuanya di Sara's Home for The Aged, di alamat No. 4, Lorong Seri Kuantan 59, Kuantan pada Jun 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durarane Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S. Arumugam.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh supaya tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

27 Jun ditetapkan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

ROSLINA BINTI DIN