fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Ketua warden nafi arah tutup suis telefon awam

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha. / Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 17 September – Ketua Warden asrama, Azhari Abd. Sagap menafikan beliau pernah mengarahkan suis telefon awam di sekolah ditutup pada 16 Julai lalu, hari kejadian membabitkan pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat dalam kumpulan WhatsApp warden dan seorang guru pada tarikh tersebut hanyalah berbunyi “haramkan pelajar buat panggilan telefon hari ini”, dan arahan itu hanya terpakai untuk satu hari sahaja.

Beliau memberi penjelasan itu ketika menjawab soalan peguam pengendali kes, sejurus prosiding inkues bersambung pada sebelah petang, hari ini.

Azhari menegaskan, tujuan arahan itu adalah bagi mengelakkan penularan berita tidak sahih yang boleh merisaukan ibu bapa, selain menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai ketua warden.

Katanya lagi, terdapat beberapa pelajar yang dibenarkan pulang pada hari kejadian atas alasan sakit dan juga kerana ahli keluarga terdekat berada dalam keadaan nazak.

Saksi kelapan inkues itu turut diminta menjelaskan mengenai dakwaan suis telefon awam ditutup selama dua hari selepas kejadian, namun beliau menegaskan keutamaan ketika itu adalah untuk menyelamatkan Allahyarham Zara terlebih dahulu.

“Tumpuan utama saya pada ketika itu adalah menyelamatkan nyawa Zara,” katanya ketika ditanya berhubung kelewatan laporan kepada pihak polis selepas pelajar berkenaan ditemui tidak sedarkan diri.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung esok di Mahkamah Koroner.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI