fb fb fb fb fb

Imigresen gempur sarang PATI, 37 ditahan

FOTO Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi di sebuah pangsapuri di Selangor tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan terhadap 82 PATI membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan.

Menerusi satu kenyataan, serbuan dibuat susulan aduan awam berhubung PATI disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beberapa warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun helah tersebut dapat dikesan dan kesemua PATI berjaya ditangkap.

Tambah beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE