fb fb fb fb fb

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa bawah Akta Kanak-Kanak 2001

Foto Bernama

PETALING JAYA, 13 Jun -Ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak itu dengan cara mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kedua-duanya dituduh bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Tertuduh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf; kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Tertuduh minta dibicarakan bawah seksyen tersebut yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” menurut kedua-dua tertuduh ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6 tahun didakwa telah mengabaikan tanggungjawab sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Kesalahan dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai pada pukul 12.00 tengah hari, 5 Disember sehingga 9.55 malam, pada 6 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron. tertuduh Zaim Ikhwan dan Ismanira diwakili peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan berjumlah RM15,000 untuk setiap tertuduh berserta syarat tambahan untuk menyerahkan passport, melaporkan diri sekali setiap bulan dan tidak menggangu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5000 atas beberapa faktor seperti tertuduh memerlukan wang untuk membiayai rawatan depresi yang dihadapi sejak kematian anak mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 kepada setiap seorang tertuduh dengan penjamin warganegara. Kesemua syarat tambahan juga dipenuhi.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.


1306 ZAYN RAYYAN DAKWA 2
Grafik RTM

Sebelum ini tertuduh direman selama 13 hari sehingga hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan pada 31 Mei lalu.

Pada 7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemukan tidak bernyawa di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10.00 malam.

Mayat ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari kanak-kanak autism itu.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemukan terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

BERITA BERKAITAN:

 

MAT YUNUS BIN SABRI