fb fb fb fb fb

Kes bunuh Zayn Rayyan: Tiada pengakuan salah direkodkan ibu mangsa

Peguam, Mahmud Abdul Jumaat (kanan)

PETALING JAYA, 12 Jun - Tiada sebarang pengakuan salah direkodkan ibu kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zayn, Mahmud Abdul Jumaat mengesahkannya sejurus selepas prosiding selesai di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.

"Puan Isma tidak membuat sebarang pengakuan salah, sebaliknya beliau membuat keterangan kepada Majistret. Oleh yang demikian seperti mana yang saya tekankan sebelum ini agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, tidak sebar berita tidak sahih," kata Mahmud.

Sementara itu, peguam yang mewakili bapa mangsa, Fahmi Abdul Moin menjelaskan pihaknya telah membuat bantahan terhadap tindakan prosiding yang dibuat menerusi permohonan polis mengikut Seksyen 26 (1) Akta Keterangan.

"Kami percaya bahawa Seksyen 26 (1) Akta Keterangan tidak relevan langsung untuk mengambil sebarang pengakuan salah di hadapan seorang Majistret dan atas alasan-alasan demikian Majistret telah pun merekodkan kesemuanya," kata Fahmi.

Esok merupakan hari terakhir pasangan ibu bapa Zayn Rayyan direman bermula 1 Jun lalu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN