fb fb fb fb fb

Guru pusat jagaan mengaku tidak bersalah lakukan kekerasan terhadap kanak-kanak autistik

Tertuduh diiringi polis ketika keluar daripada bilik mahkamah

KUALA LUMPUR, 24 Julai- Seorang guru didakwa atas kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak lelaki autismik yang berusia 6 tahun pada minggu lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Thinesh Manickam, 33 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 16 Julai lalu, pukul 11.50 pagi, di kelas Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa Petaling Jaya.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntuk penjara selama tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri mencadangkan nilai wang jaminan berjumlah RM1,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa sepanjang kes perbicaraan berjalan.

Dalam pada itu, peguam tertuduh, Y Sharvi Nair tidak membantah syarat dan kadar jaminan yang dicadangkan pihaknya.

Majistret Shahril Anuar kemudiannya menetapkan wang jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan tersebut.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes pada 27 Ogos depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE