KUALA LUMPUR, 8 November - Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet di universiti sama dengan menekap seterika wap yang panas pada badan mangsa.
Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas di Blok Kasturi, Akademi Latihan Ketenteraan UPNM pada 11:45 malam, 22 Oktober lalu.
Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh memohon untuk mengurangkan ikat jamin susulan kedua ibu bapa tertuduh merupakan pesara.
Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin berjumlah RM20,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan, dimana tertuduh tidak boleh menggangu dan menghubungi saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.