fb fb fb fb fb

Guna dokumen palsu mohon bantuan PPRT, lelaki didenda RM4,000

Yushafiszam Yusof, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman hari ini. / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 6 Mac- Gara-gara menggunakan dokumen palsu bagi permohonan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM50,000, seorang pekerja pembersihan syarikat luar pesisir hari ini didenda RM4,000.

Yushafiszam Yusof, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman hari ini.

Dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Permohonan PPRT, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi membuat permohonan bantuan bina rumah baharu di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).

Kesalahan itu dilakukan pada Mei 2019 di Kampung Talong, Dungun dan boleh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dielakkan penjara dan dikenakan denda minimum kerana berpendapatan rendah iaitu antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan selain pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar berkata kesalahan dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan dana awam dan boleh menafikan hak penerima bantuan lain yang layak.

"Tertuduh telah mendapat manfaat sebuah rumah yang telah siap dengan kos RM50,000 menggunakan dana awam. Saya mohon hukuman setimpal diberikan agar boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan orang lain," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI