fb fb fb fb fb

Gagal beri penjelasan wang RM114,000 dalam akaun, kontraktor ubah suai rumah didenda RM1,000

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga bulan ke atas seorang kontraktor ubah suai rumah kerana gagal memberi penjelasan berhubung wang berjumlah RM114,000 di dalam akaun bank miliknya, dua bulan lepas.

Hakim Azrul Darus membuat keputusan itu selepas Muhammad Sadiq Na'man, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki wang tersebut yang disyaki dicuri atau diperoleh secara curang daripada seorang individu dan gagal memberi penjelasan memuaskan bagaimana ia diperoleh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Koperasi Polis, Batu Caves di sini dari 23 hingga 26 April lepas mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sadiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan utama iaitu mengalih atau menyembunyikan wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dan satu lagi pertuduhan sama membabitkan RM200,000 milik seorang lelaki lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Desa Segambut, Sentul di sini pada 3.31 petang 21 Mac lepas mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam Khairul Anwar Kashim memohon jumlah yang rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah membenarkan Muhammad Sadiq diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN