fb fb fb fb fb

Falco dan Jimmy diguna untuk jejak bukti pembunuh Zayn Rayyan

Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) tiba kira-kira pukul 1.50 tengah hari tadi, melakukan penjejakan semula di kawasan aliran anak sungai berhampiran apartment berkenaan

PETALING JAYA, 9 Disember - Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu Falco dan Jimmy digunakan untuk menjejaki bukti pembunuh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan di kawasan penemuan mayatnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisionar (ACP) Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, Unit Anjing Pengesan K9 itu, dibawa bagi mendapatkan petunjuk baharu yang mungkin akan membawa kepada penemuan suspek.

Dua ekor anjing itu tiba kira-kira pukul 1.50 tengah hari tadi, melakukan penjejakan semula di kawasan aliran anak sungai berhampiran apartment berkenaan.

Mohamad Fakhrudin berkata setakat ini belum ada pihak yang tampil memberikan rakaman kamera papan pemuka, walaupun terdapat banyak kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir di sekitar apartment terbabit.

"Saya memohon kepada individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka di kenderaan mereka untuk tampil dan memberikannya kepada pihak polis.

"Orang ramai diminta agar tidak berkongsi dan menyebarkan sebarang maklumat palsu, kerana kes itu masih dalam siasatan," katanya di sini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil jika didapati ada komen-komen palsu dan mengganggu ketenteraman awam serta mencemar maruah kepada keluarga itu.

Sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

TETITIA YUSOFF