fb fb fb fb fb

Lebih 32,000 kes penipuan dalam talian direkodkan, nilai kerugian lebih RM1.3 bilion

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata ia melibatkan nilai kerugian lebih RM1.3 bilion ringgit.

"Kesemuanya antara Januari hingga November 2023 adalah RM1,313.9 juta ataupun RM1.3 bilion berbanding dengan tahun lepas dalam tempoh yang sama sebanyak 23,608 kes dengan kerugian sebanyak RM 771.1 juta.

"Kes pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar berjumlah RM421 juta, diikuti dengan jenayah e-dagang (RM382 juta), jenayah telekomunikasi (RM327.9 juta), jenayah e-kewangan (RM103.6 juta), 'love scam' (RM40.9 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM38.5 juta)", katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar jangan mudah terpengaruh dengan taktik scammer.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival "Scam Free Malaysia" yang dianjurkan bersama JSJK bersama Whoscall Malaysia.

Karnival bertujuan mewujudkan komuniti bebas penipuan dengan membantu orang ramai mencegah penipuan dalam talian dan panggilan.

Pada karnival tersebut, PDRM dan WhosCall mengukuhkan komitmennya dengan pengumuman pemberian 1 juta akaun Whoscall Premium dengan penggunaan selama satu tahun bernilai RM87 juta.

ROSLINA BINTI DIN