fb fb fb fb fb

Enam lagi wanita ditahan terbabit kes 'Hot Daddy'

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada Program Townhall Discussion di Klang

KLANG, 29 Januari- Enam lagi wanita ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes seorang lelaki tempatan yang dituduh melakukan pengiklanan khidmat persundalan melalui aplikasi media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kesemua suspek wanita tempatan berusia 21 hingga 36 tahun itu, diberkas pada minggu lepas menerusi fasa kedua Op Daddy.

"Mereka melakukannya secara sukarela, tiada paksaan dan ada yang bermotifkan keuntungan.

"Jadi seperti yang saya katakan tadi, perkara ini menimbulkan sedikit kebimbangan atas apa yang berlaku di negara ketika ini,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Townhall Discussion di Klang.

Datuk Seri Mohd Shuhaily turut mengingatkan orang awam bahawa, tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang menyimpan bahan-bahan pornografi di dalam gajet termasuk telefon bimbit, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Jumaat lepas, seorang lelaki dan dua rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X, minggu lepas.

Hakim, Siti Aminah Ghazali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE