fb fb fb fb fb

Enam ditahan termasuk pemastautin tetap, terlibat sindiket edar dadah

Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din

AYER KEROH, 23 Februari- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran serta penyeludupan dadah antarabangsa jenis syabu dan ekstasi dengan menahan lima lelaki warga tempatan dan seorang pemastautin tetap berusia 40 hingga 74 tahun.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, kesemua mereka ditahan dalam tiga operasi di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada 21 Februari lalu.

Kesemua suspek merupakan penganggur mempunyai peranan tersendiri sebagai dalang utama, koordinator dan penghantar dadah.

"Jadi modus operandi sindiket ini adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup masuk dadah dari negara jiran, kemudian keperluan dadah ini akan diedarkan melalui jalan laut ke Indonesia.

"Jadi kita percaya sindiket ini aktif pertengahan tahun 2023. Kita telah buat saringan awal dan mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala empat lagi suspek negatif dadah," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Melaka, Bukit Beruang.

Dalam pada itu lima suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah atas kesalahan jenayah dan dadah. 

Mohd Kamarudin berkata, kesemua dadah yang dipercayai dipasarkan ke negara jiran itu boleh digunakan untuk 365,000 penagih.

Polis turut menyita dua kenderaan dan wang tunai bernilai RM103,000.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI