fb fb fb fb fb

Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri diarah bela diri

Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membela diri terhadap lapan tuduhan menerima suapan

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin memerintahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membela diri terhadap lapan tuduhan menerima suapan bernilai RM1.77 juta berhubung tender kempen pengiklanan kementerian itu pada enam tahun lalu.

Saifullah Mohd Minggu, 33, dipanggil membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi lapan daripada 19 tuduhan yang dipertuduhkan ke atasnya.

Bagaimanapun hakim membebaskan tertuduh bagi 11 lagi tuduhan iaitu meminta dan menerima suatu suapan berjumlah RM820,000 berhubung tender sama.

Hakim itu juga melepas dan membebaskan tunang kepada bekas setiausaha itu, Nurfadziana Abdul Kadir, 30, daripada tuduhan bersubahat dengan lelaki berkenaan menerima suapan RM232,000 selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mohd Saifullah didakwa menerima suapan daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.

Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau 10 ribu ringgit mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim menetapkan 17 April ini bagi prosiding bela diri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI