PETALING JAYA, 23 Februari- Polis menahan dua lagi individu masing-masing berusia 23 dan 40 tahun yang disyaki terlibat dengan kes ikat dan pukul seorang pemandu sehingga maut selepas kemalangan baru-baru ini di Taman Pelangi Semenyih 2.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan ke atas dua lelaki berkenaan dibuat di Kajang semalam.
Menurut beliau, polis akan mengenal pasti dan menangkap semua yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Sehingga kini polis telah menangkap tujuh individu, dan kini tambah lagi dua orang. Kita masih meneruskan siasatan dan tujuh individu berkenaan masih lagi dalam tahanan reman," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kepada ACP Shahrulnizam Jaafar di sini.
Bagaimanapun menurut siasatan awal mendapati mangsa positif dadah jenis methamphetamin dan ganja serta mempunyai 10 rekod lampau sebelum ini.
"Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh membawa kepada kematian, namun kita masih lagi menunggu ujian makmal pathologi untuk mengesan punca sebenar kematian," katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung kejadian itu.
Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan polis.