fb fb fb fb fb

Empat sekawan masak mi segera di stesen minyak kena denda RM500 setiap seorang

FOTO BERNAMA

BENTONG, 21 Mei- Empat individu masing-masing didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas tuduhan melakukan aktiviti memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands pada 12 Mei lalu.

Tertuduh, Nur Azira Azman, 23 tahun, Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24 tahun, Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24 tahun, dan Nur Anis Salleh, 24 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dalam mencapai niat bersama pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 1.30 pagi bertindak memasak menggunakan dapur gas mudah alih dalam kawasan stesen minyak di Genting Highlands.

Perbuatan tersebut disifatkan sebagai gopoh kerana telah membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain.

Ekoran perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding tersebut, Muhammad Zamharir meminta hukuman setimpal diberikan kesemua tertuduh kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat.

Muhammad Zamharir turut meminta hukuman denda maksima dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat agar kesalahan tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

Kesemua tertuduh kemudiannya menjelaskan denda masing-masing.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE