fb fb fb fb fb

Suri rumah rugi RM20,000, terperdaya janji komisen tiket loteri

Foto hiasan

ALOR GAJAH, 21 Mei- Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM20,000 selepas terperdaya dengan janji komisen sebanyak 10 peratus sekiranya membantu menuntut wang kemenangan tiket loteri pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 58 tahun pergi membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Masjid Tanah sebelum didatangi tiga lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun.

Ketika itu, mangsa yang bersendirian telah ditawarkan oleh suspek untuk menunaikan tiket loteri tempat pertama yang dimenangi berjumlah RM500,000.

Kononnya mereka tidak dibenarkan menuntut wang kemenangan kerana tidak memiliki kad pengenalan.

"Suspek menawarkan kepada mangsa sebanyak RM50,000 jika membantu mereka menunaikan tiket loteri berkenaan kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan. Suri rumah itu mengikuti warga asing tersebut menaiki kereta untuk ke kedai loteri yang berada kira-kira dua kilometer daripada pasar raya berkenaan.

"Ketika dalam perjalanan, suspek meminta mangsa menyerahkan barang kemas sebagai cagaran dengan alasan supaya suri rumah berkenaan tidak menipu mereka selepas menunaikan tiket loteri tersebut," katanya.

Menurut Ashari, mangsa terpedaya dan menyerahkan barang kemas berupa seutas rantai berserta loket dan gelang tangan dianggarkan bernilai RM20,000.

Ketika tiba di kedai loteri, ketiga-tiga suspek menunggu di dalam kereta dan menyerahkan tiket loteri kepada mangsa untuk ditunaikan di kaunter premis.

"Semasa ingin masuk ke premis, mangsa berpaling melihat suspek dan terkejut mendapati kereta yang dinaiki telah beredar menyebabkan suri rumah itu tersedar diperdaya oleh mereka.

"Wanita itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, kira-kira 2.00 petang pada hari kejadian," katanya dalam kenyataan itu sambil menambah empat kertas siasatan dibuka berkaitan tipu loteri sejak tahun lepas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI