fb fb fb fb fb

Dua termasuk penjawat awam ditahan bantu siasatan kes tuntutan palsu

FOTO HIASAN

KOTA KINABALU, 20 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam disyaki terlibat dalam kes berkaitan tuntutan palsu pada Disember 2018.

Menurut sumber, wanita berusia 40-an yang merupakan pemilik syarikat dan penjawat awam lelaki berumur 50-an itu ditahan kira-kira 10 pagi di pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.

Sumber memaklumkan kedua-duanya disyaki terlibat dalam mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir mantan palsu bagi tujuan pembelian peralatan persekolahan bernilai kira-kira RM10,000 sedangkan pembelian berkenaan tidak dilaksanakan.

“Wanita itu dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu melalui invois-invois dan diperakui penerimaan oleh pegawai (penjawat awam itu) di institusi pendidikan (sekolah) berkenaan,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 471 dan 107 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE