fb fb fb fb fb

Rasuah berkaitan kes dadah, dua pegawai penguat kuasa badan beruniform direman empat hari

Dua pegawai penguat kuasa badan beruniform diiring pegawa SPRM ketika tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman

KOTA BHARU, 21 Mei- Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua pegawai penguat kuasa badan beruniform selama empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM23,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Kedua-duanya ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2019.

Menurut sumber SPRM, pegawai penguat kuasa berusia 29 tahun disyaki meminta suapan sebanyak RM10,000 pada September tahun lalu.

Manakala suspek kedua yang berusia 43 tahun menerima suapan RM13,000 pada April tahun ini.

Kedua-dua mereka disyaki meminta dan menerima wang itu untuk menggugurkan pertuduhan suspek berkaitan kes dadah daripada Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hanya dituduh bagi kesalahan kes urin serta alat digunakan untuk mengambil dadah.

Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Terdahulu, kedua-dua pegawai penguat kuasa itu ditahan secara berasingan di pejabat mereka di Pengkalan Chepa, malam tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE