fb fb fb fb fb

Seludup minuman keras dan rokok RM532,649, lelaki warga China ditahan

MOHD. ASRI (tengah) bersama minuman keras dan rokok yang dirampas dalam serbuan pada sidang akhbar di Bentong hari ini / Foto RTM

BENTONG, 21 Mei - Taktik seorang lelaki warganegara China yang dipercayai mengambil kesempatan bekerja di sektor perkapalan di negara ini dengan melakukan penyeludupan minuman keras dan rokok daripada negara China berjaya dihidu pihak berkuasa.

Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bentong di dua buah premis di Johor itu berjaya merampas minuman keras dan rokok yang diseludup dengan nilai keseluruhan berjumlah RM532,649.25

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, pihak kastam berjaya merampas 2,413,40 liter minuman keras dan 585,580 batang rokok pelbagai jenis dan jenama bernilai RM80,371 dengan nilai cukai dianggarkan sebanyak RM452,278.25 pada serbuan berkenaan.

Menurut Asri, dalam serbuan pertama pada pukul 3.00 pagi di sebuah premis kediaman di Johor Bahru berjaya menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM177,743 dan menahan seorang lelaki warganegara China berusia 44 tahun untuk siasatan lanjut.

Serbuan kedua pada pukul 5 pagi di sebuah premis kedai di Masai, Johor berjaya menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM354,906.

Tambahnya lelaki warganegara China yang mula bekerja di negara ini pada 2021 itu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 oleh dua penjamin warganegara tempatan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati rokok dan minuman keras berkenaan adalah untuk pasaran khususnya warganegara asing di sekitar Johor.

Katanya, siasatan giat dilakukan dan pihaknya percaya barangan berkenaan dibawa masuk melalui laut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di JKDM Bentong, Pahang, hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD