fb fb fb fb fb

Empat lelaki ditahan disyaki curi kabel

Kesemua yang berusia lingkungan 38 hingga 42 tahun itu diberkas di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah/ Foto: Polis Perak

IPOH, 27 Februari- Empat lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mencuri kabel di kawasan Taman Ipoh Jaya, pada 19 Februari lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua yang berusia lingkungan 38 hingga 42 tahun itu diberkas di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah.

"Dalam kejadian 19 Februari lepas, polis cuba menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dalam keadaan mencurigakan dan telah melarikan diri.

“Hebahan bantuan telah dilakukan dan beberapa kereta peronda polis ditugaskan mengejar kenderaan itu hingga ke Lebuhraya Utara-Selatan, namun kesemua individu yang berada di dalam kenderaan itu berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes kecurian kabel di Taman Ipoh Jaya selain beberapa lagi kes sama di sekitar bandar raya ini.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel daripada mereka.

Saringan awal air kencing mendapati kesemua lelaki itu positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan mereka direman hingga 1 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI