fb fb fb fb fb

Empat individu disyaki perantara sindiket penyeludupan tembakau, arak ditahan

Keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang pada Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

PUTRAJAYA, 13 Mac- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat lagi individu termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki bertindak sebagai perantara untuk memberi rasuah bagi pihak sidiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Mac 2024 terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang pada Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Kesemua suspek ini dipercayai telah menjadi perantara sindiket terbabit untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan.

"Wang rasuah daripada sindiket ini dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam yang terbabit," katanya.

Reman terhadap suspek ini adalah susulan operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin lalu di mana seramai lapan individu telah ditahan dan empat daripadanya telah direman semalam.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

ZEHRA BINTI ZAMBRI