fb fb fb fb fb

Lelaki disyaki terlibat kes pergaduhan, keganasan ditahan, dua pistol dirampas

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Chat pada Selasa.

KOTA BHARU, 13 Mac- Polis Kelantan berjaya menahan individu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes pergaduhan dan keganasan ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Chat di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, polis turut merampas dua pucuk pistol serta peluru hidup.

Menurutnya, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu berada di dalam rumah dan tidak sempat melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah turut menemui 1,200 biji pil yaba dan 550 pil kuda.

"Suspek menunjukkan laci bertingkat yang menjadi tempat simpanan dua pucuk pistol berbeza jenama serta 54 peluru hidup," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki memaklumkan suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah.

"Ada kes dadah di negeri ini turut melibatkan pemilikan senjata api, jadi mungkin ada lagi kumpulan lain yang berhubung dengan suspek dan kita akan teruskan siasatan.

"Kemungkinan suspek mempunyai rakan jenayah yang lain manakala dadah yang dirampas mungkin untuk pasaran tempatan,"katanya.

Jelasnya lagi, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI