fb fb fb fb fb

Ejen sindiket seludup PATI cuba sogok polis RM50,000 direman tiga hari

FOTO RTM

KOTA BHARU, 3 Januari- Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ejen sindiket yang didakwa cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perintah reman tiga hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan diiringi oleh pegawai SPRM.

Media sebelum ini melaporkan tindakan ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai berjumlah RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong, namun mengundang padah apabila ditahan polis, 7 Disember lalu.

Ia berkaitan kes penyeludupan PATI di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor berkata, mereka ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE