GEORGE TOWN, 3 Januari- Seorang lelaki tempatan ditahan polis dipercayai terlibat dalam sindiket pemprosesan dadah.
Penahanan dibuat di hutan dekat Cangkat Bukit Gambir, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Beliau berkata, dadah jenis heroin seberat 5,351 gram, bernilai RM51,370 ditemukan di lokasi penahanan.
Turut dirampas; peralatan memproses dadah dan sebuah motosikal.
"Suspek, lelaki berusia 47 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau. Sindiket dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu.
"Dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan 26,755 penagih," katanya.
Jelas Abdul Rozak, suspek kini direman selama tujuh hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.