fb fb fb fb fb

Dua warga Colombia mengaki tidak bersalah pecah rumah

Dua lelaki warga Colombia di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Dua lelaki warga Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan dan mencuri pelbagai jenis barangan anggaran bernilai RM7 juta, bulan lepas. 

Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan Julian David Serna Pena, 22, didakwa memecah masuk rumah dan mencuri barang milik Indra Izwaan Mohd Yusof, 45, bernilai RM7 juta di kediaman mangsa di Bukit Damansara pada 31 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan jaminan memandangkan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata pihaknya akan menghantar representasi terhadap pertuduhan anak guamnya.

Hakim Dr Azrol Abdullah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Dua lelaki berusia 22 dan 39 tahun itu antara lapan anggota geng pecah rumah didalangi warga Amerika Latin yang berjaya diberkas polis di sekitar ibu negara dan Thailand, awal Jun lalu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu sidang media berkata, selain tangkapan itu, turut dirampas pelbagai barangan yang dicuri termasuk jam tangan, barang kemas dan wang ringgit keseluruhan bernilai lebih RM4 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI