LUMUT, 21 Oktober – Dua lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di perairan Sungai Kampung Baru, di sini, Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, sebanyak 11 pemeriksaan dilakukan menggunakan tiga bot ronda Maritim Negeri Perak, membabitkan 40 anggota termasuk 11 daripada JIM.
“Pemeriksaan terhadap beberapa sangkar ikan yang disyaki menempatkan pekerja asing membawa kepada penahanan dua lelaki, masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Katanya, suspek kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi itu turut memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan memastikan keselamatan perairan Perak kekal terkawal.
Mohamad Shukri turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6832254.