KOTA BHARU, 21 Oktober - Kes penipuan e-dagang di Kelantan mencatatkan peningkatan ketara iaitu lebih 100 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak 310 kes penipuan e-dagang direkod tahun ini dengan kerugian dianggar RM2.34 juta berbanding 154 kes melibatkan RM1.34 juta pada tahun lalu.
Menurut beliau, penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian turut meningkat daripada 66 kes (RM1.45 juta) kepada 165 kes (RM3.43 juta).
Jenayah siber lain turut menunjukkan peningkatan membimbangkan iaitu daripada 189 kes (RM4.14 juta) kepada 344 kes (RM6.90 juta) bagi tempoh yang sama.
Penipuan e-dagang kini menjadi antara kategori jenayah paling dominan di Kelantan dengan pelbagai modus operandi digunakan penjenayah khususnya platform media sosial untuk memperdaya mangsa.
“Sekarang ini, penjenayah ubah trend jenayah lebih kepada komersial. Hampir setahun e-dagang menjadi penyumbang utama kepada jenayah komersil di Kelantan. Facebook menjadi medium utama," katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi Oktober di Kota Bharu.
Tambah Datuk Mohd Yusoff, jumlah keseluruhan jenayah komersial di negeri itu turut meningkat daripada 833 kes pada tahun lalu kepada 1,336 kes pada tahun ini.
Bagaimanapun, jumlah kerugian keseluruhan turun daripada RM49.7 juta kepada RM31.5 juta sekaligus menunjukkan langkah penguatkuasaan dan kesedaran awam semakin berkesan.
Katanya lagi, PDRM Kelantan akan terus memperkukuhkan risikan, memperluaskan jaringan kerjasama antara agensi serta meningkatkan kesedaran pengguna agar tidak mudah terpedaya.