fb fb fb fb fb

Dua rakan tidak mengaku salah rasuah polis RM60,000

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini

AYER KEROH, 16 April- Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memberi dan bersubahat merasuah seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Teo Teck Qing, 26, didapati memberi rasuah berjumlah RM60,000 kepada Supari Muhamad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas diri dan rakan-rakannya yang disyaki melakukan aktiviti 'scammer' di hadapan sebuah kedai serbaneka di sini pada 1 Jun 2023, sekitar pukul 1.15 petang.

Sementara itu, Keong Kah Wai, 19, didakwa bersubahat dalam pelakuan Teo yang memberikan suapan kepada pengadu sama, pada tarikh dan lokasi sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas Teo dan rakan-rakannya yang disyaki melakukan kesalahan tersebut.
 
Teo didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, manakala Keong dituduh di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 17(b) dan Seksyen 24 (1) akta yang sama.
 
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM80,000 berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes diselesaikan.
 
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya.
 
Hakim Elesabet Paya Wan kemudian memutuskan Teo diikat jamin RM40,000, manakala RM30,000 ke atas Keong dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
 
Mahkamah menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SITI AISHAH MD ISA