fb fb fb fb fb

Dua penguat kuasa direman kes seludup warga asing di LTAP

Dua suspek berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret George Town pagi tadi untuk permohonan reman

GEORGE TOWN, 19 Oktober- Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman terhadap dua pegawai agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan kes mengatur kemasukan warga asing melalui laluan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Perintah reman selama tiga hari itu dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Qayyum Noordin bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua-dua pegawai berusia lingkungan 40-an itu ditahan petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

Mereka dipercayai bersekongkol dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai ejen dalam mengatur kemasukan seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan imigresen yang sepatutnya.

Difahamkan, suspek telah meminta wang sebanyak RM4,500 daripada lelaki Indonesia tersebut yang tiba di LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan bagi memudahkan kemasukannya ke negara ini.

SITI AISHAH MD ISA