TEMERLOH, 19 Oktober- Seorang suri rumah mengalami kerugian RM690,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Pada Julai lalu, mangsa berusia 42 tahun telah berminat dengan tawaran pelaburan melalui aplikasi WhatsApp Group dan telah mendaftar dalam sistem yang bernama Ying Trade diberikan oleh suspek.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa kemudian telah diberikan latihan untuk membeli saham melalui pautan yang diberikan bagi bulan Julai dan Ogos.
"Sepanjang tempoh 17 September sehingga 14 Oktober, wanita itu telah membuat 25 transaksi ke dalam dua akaun bank yang diberikan oleh suspek sehingga mengalami kerugian.
Dalam tempoh itu juga, mangsa telah menerima pulangan dalam anggaran RM50,000 dan melabur semula dalam pelaburan tersebut, namun sekali lagi berdepan kerugian," kata Datuk Seri Yahaya dalam kenyataan.
Polis mendapati sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang transaksi.