fb fb fb fb fb

Lima sindiket dadah berjaya dilumpuhkan PDRM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Lima sindiket dadah yang beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kelantan berjaya dilumpuhkan sepanjang tempoh 1 hingga 12 Oktober tahun ini.

Hasil operasi dan serbuan yang dijalankan, seramai 13 ahli sindiket berjaya diberkas melibatkan rampasan dadah berjumlah 1,418 kilogram bernilai RM75 juta.

Bagi tempoh kajian bermula Januari hingga September 2024, sejumlah 193 sindiket berjaya ditumpaskan dengan penahanan seramai 612 orang ahli sindiket.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, secara keseluruhan, jumlah rampasan tersebut berjaya menyekat penggunaan dadah kepada seramai 44.98 juta orang pengguna.

"Secara perbandingan, terdapat penurunan bagi tempoh sama pada tahun 2023, yang merekodkan sejumlah 245 sindiket ditumpaskan dan seramai 791 orang ahli sindiket berjaya ditangkap."

Dari aspek rampasan pula, dalam operasi yang dijalankan bermula Januari hingga September 2024, sejumlah 8,996.1 kilogram pelbagai jenis dadah dan 4,749.05 liter pelbagai jenis cecair dadah.

Selain itu, 39,105.37 kilogram daun ketum dan 43,499.85 liter air ketum telah berjaya dirampas," kata Tan Sri Razarudin dalam ucapannya sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bagi Bulan Oktober 2024, di ibu negara, hari ini.

Tan Sri Razarudin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) atas kejayaan tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM