fb fb fb fb fb

Dua lelaki warga Taiwan tidak mengaku salah tiga pertuduhan melibatkan senjata api

Dua lelaki warga Taiwan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memperdagangkan dan memiliki senjata api

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Dua lelaki warga Taiwan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan memperdagangkan dan memiliki senjata api.

Tertuduh, Cheng Ming Hung 26 tahun dan Hsueh Chun Ta 33 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.

Pertuduhan pertama, mereka didakwa bawah Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana memperdagang 14 pistol dan satu laras ‘sub machine gun’ tanpa kebenaran sah yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh memiliki satu pistol tiruan jenama ‘five-seven MK2P’ dan dua kelopak peluru kosong dan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Berbahaya 1960 dan dibaca Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki senjata api iaitu 14 pistol, satu 'sub machine gun dan 900 peluru, tanpa kebenaran dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun, enam kali sebatan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana pertuduhan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mac depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI