GEORGE TOWN, 6 Januari – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya menahan dua lelaki warga asing dan merampas 4,120 karton rokok pelbagai jenis dalam satu serbuan di premis tidak bernombor di Butterworth pada Ahad melalui Operasi Taring Landai.
Komander PPM Wilayah Satu, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Rusley Che Ari memaklumkan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM847,616.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.
Berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, PPM Wilayah Satu telah mencatatkan 2,168 kes tangkapan dengan nilai rampasan melebihi RM42.46 juta melibatkan pelbagai kesalahan.