KUALA TERENGGANU, 6 Januari- Seorang kerani berputih mata apabila lenyap RM30,000 selepas terpedaya sindiket tawaran hadiah Shopee di laman sosial.
Kejadian berlaku 19 Disember lalu apabila mangsa seorang wanita berusia 26 tahun telah menyertai satu group Telegram yang menawarkan hadiah percuma kepada ahli kumpulannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata bagaimanapun mangsa perlu menyelesaikan beberapa tugasan iaitu membuat bayaran pendahuluan kepada beberapa peniaga sebelum mendapatkan ganjaran.
"Terpesona dengan hadiah besar ditawarkan sindiket mangsa telah membuat lima transaksi berjumlah RM30,000 menggunakan wang simpanan termasuk duit daripada hasil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan sebelum ini.
"Mangsa telah membuat tiga tranksaksi ke akaun bank manakala dua lagi ke akaun Big Pay seperti diarahkan suspek," katanya.
Jelas Azli, pengadu menyedari ditipu selepas suspek masih meminta bayaran selepas transaksi akhir dibuat.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis lima petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.