fb fb fb fb fb

Dua lelaki positif dadah ditahan terlibat kes pecah rumah

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini / Foto Bernama

SERDANG, 23 Jun – Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah di Seri Kembangan pada 8 Jun lalu, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM42,200.

Ketua Polis Daerah Serdang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Muhamad Farid Ahmad berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 44 tahun telah direman sejak Khamis lalu dan tempoh reman mereka berakhir hari ini.

Pihak polis kini sedang memohon lanjutan reman bagi meneruskan siasatan.

“Dalam serbuan yang dijalankan, pihak polis berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dilaporkan hilang, beberapa alat komunikasi walkie talkie, sarung tangan serta pakaian yang digunakan ketika jenayah dilakukan.

“Turut dirampas adalah barangan berharga seperti komputer riba, iPad, telefon bimbit, wang tunai, jam tangan, cermin mata, kunci kereta dan kunci rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai sebanyak 41 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN